Earn $$ with WidgetBucks!

Tuesday, November 27, 2007

Pinjaman Penuh Untuk Usahawan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS)

Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC) dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd. (SME Bank) semalam menjalinkan kerjasama strategik bagi memberi pinjaman penuh kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Azlin Alias berkata, pemberian pinjaman itu akan mengurangkan masalah gangguan modal perniagaan yang sering dialami oleh usahawan PKS yang baru.

‘‘MTDC akan memberi pinjaman sebanyak separuh daripada permohonan yang diterima, manakala separuh lagi diberikan oleh SME Bank,’’ katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan MTDC dan UKM Holdings Sdn. Bhd. (UKM Holdings), semalam.

Azlin berkata, MoU tersebut memberi kelebihan kepada usahawan PKS baru dan lama untuk menjalankan perniagaan kerana mereka tidak perlu lagi bersusah payah mencari modal tambahan bagi meneruskan operasi perniagaan.

Jelasnya, kerjasama strategik itu juga akan merancakkan pertumbuhan usahawan SME di kalangan bumiputera dan membantu syarikat-syarikat SME mendapat bantuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada UKM Holdings.

Beliau berkata, jumlah maksimum yang diberikan untuk geran pinjaman ialah sebanyak RM4 juta, manakala geran pinjaman untuk teknologi baru ialah sebanyak RM2 juta.

Kata Azlin, sebanyak RM242 juta peruntukkan pinjaman dalam Rancangan Malaysia ke-9 yang telah diberikan kepada MTDC untuk diagihkan kepada orang ramai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, sebanyak RM70 juta daripada jumlah peruntukkan itu telah diberikan kepada 58 buah syarikat sehingga ini.