Earn $$ with WidgetBucks!

Saturday, November 24, 2007

Perhimpunan HINDRAF

Pengerusi Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), Waythamoorthy Ponnusamy,41, yang juga seorang peguam ditahan di plaza tol Shah Alam pada kira-kira jam 3 petang semalam dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Selangor di Shah Alam.

Seorang lagi peguam, S Ganapathi Rao Veramah,34, pula ditangkap pada lebih kurang masa yang sama di ibu pejabat polis berkenaan ketika beliau pergi untuk menemui penasihat undang-undang Hindraf, peguam P Uthayakumar, 46, yang sedang ditahan di situ.

Uthayakumar yang juga merupakan abang kepada Waythamoorthy ditangkap pagi tadi di pejabat guamannya di Kuala Lumpur di bawah Akta Hasutan.

Mereka didakwa mengeluarkan perkataan berunsur hasutan dalam bahasa Tamil di Restoran Yun He, Sungai Rambai, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, pada 16 November lalu antara pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar berkata, penahanan tiga individu berkenaan dibuat mengikut Akta Hasutan kerana didapati menyampaikan ceramah yang menghasut serta boleh menggugat ketenteraman awam.

Tambah Ismail, polis turut memperoleh perintah mahkamah melarang lima peguam termasuk tiga yang didakwa di mahkamah itu daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan Ahad ini.
Tiga peguam tersebut didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 (pindaan 1969) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Walau bagaimanapun ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Hakim Zunaidah Mohd Idris membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM800 seorang dan menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari Putrajaya, Idris Mohd Yusuf, Fariza Hamzah dan Norizan Ariffin manakala tiga peguam itu diwakili M Manoharan.

Mereka bertiga, yang tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, dibenarkan ikat jamin RM800 seorang oleh hakim Zumaidah Mohd Idris.

Namun, Waythamoorty enggan membayar ikat jamin itu sebagai tanda protes terhadap polis yang didakwanya telah diperalatkan oleh kerajaan.

Beliau akan ditahan sehingga Isnin ini dan berikrar untuk melancarkan mogok lapar. Waythamoorty dilaporkan dihantar ke penjara Sungai Buloh. Dalam pada itu, Uthayakumar serta Ganapathy Rao, membayar ikat jamin tersebut.

Waythamoorthy, Uthayakumar dan Ganapathy ditahan semalam di tiga lokasi berasingan menjelang perhimpunan anjuran Hindraf di luar bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Ahad ini.

Waythamoorthy menyifatkan insiden tersebut sebagai satu konspirasi. Saya akan (ke penjara) sebagai tanda protes. Seluruh saga ini merupakan satu konspirasi. Ia masih belum terlewat, mereka (pihak berkuasa) masih boleh memPeberi permit untuk (perhimpunan) Ahad ini," katanya.

Sementara itu, awal pagi semalam juga, polis telah menemui Uthayakumar di kediamannya di Bangsar untuk menyerahkan perintah melarang beliau daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Perintah tersebut, yang diperolehi dari mahkamah majistret Kuala Lumpur, melarang Uthayakumar, Waythamoorthy, para peguam M Mahonaran, S Ganapathy, R Kengadharan dan semua penyokong Hindraf daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut kerana ia boleh membahayakan orang ramai.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Manoharan berkata, perintah itu melarang beliau dan yang lain untuk pergi ke bangunan Pesuruhjaya Tinggi British selama tujuh hari mulai 21 November.

"Notis itu diserahkan kepada saya pada jam 7.50 pagi. Perintah tersebut dikeluarkan oleh mahkamah majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 98 Kanun Prosedur Jenayah, katanya. S eksyen 98 memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah tersebut dalam kes-kes yang boleh menimbulkan gangguan.

Menurut Manoharan, perintah larangan tersebut dipohon oleh balai polis Cheras dan diserahkan kepadanya oleh anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Jelasnya, beliau akan membuat permohonan untuk mengetepikan perintah mahkamah tersebut.

Manoharan adalah antara empat peguam selain Uthayakumar, Waythamoorthy dan S Ganabathi Rao yang ditangkap di Kampung Rimba Jaya di Padang Jawa, Shah Alam ekoran peristiwa perobohan sebuah kuil Hindu yang berusia 100 tahun.

Pada 7 November lalu, Hindraf mengemukakan permohonan untuk mengadakan perhimpunan di depan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di sini esok tetapi tidak diluluskan polis kerana dikhuatiri menjejaskan ketenteraman serta keselamatan awam.

Hindraf merancang untuk menghimpunkan 10,000 orang India bagi menyerah petisyen kepada Ratu Elizabeth II untuk membantu menyokong permohonan masyarakat India negara ini yang memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion Pound Sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan British.

Tuntutan itu difailkan di Britain 30 Ogos lalu kerana tindakan British membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh kontrak dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun. Kerajaan British juga didakwa gagal melindungi hak kaum itu dalam Perlembagaan ketika memberi kemerdekaan Malaysia.

Kelmarin, Mahkamah Majistret di sini, mengeluarkan perintah sebelah pihak menghalang Waytha Moorthy, Uthayakumar dan Ganapathi Rao, serta dua lagi iaitu M Manoharan dan R Kengadharan serta semua pihak yang menyokong Hindraf daripada menganjurkan perhimpunan berkenaan.

Majistret Tasnim Abu Bakar membenarkan permohonan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya B Sarala Pillai dan perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah yang berkuat kuasa selama tujuh hari.

Mengikut perintah itu, sesiapa yang mengingkarinya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000.

Walaupun perintah itu meliputi kawasan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain, tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Polis 1967 terhadap sesiapa yang berhimpun di kawasan lain, kerana terbabit dalam perhimpunan haram.

Sementara itu, polis mula meningkatkan kawalan keselamatan di ibu negara semalam dengan mengadakan sekatan jalan raya bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan penganjuran perhimpunan haram berkenaan.

Sekatan diadakan di hampir semua laluan ke ibu negara bagi memastikan tiada anasir tidak diingini cuba mengambil kesempatan mengadakan perkara menyalahi peraturan undang-undang, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.