Earn $$ with WidgetBucks!

Monday, November 26, 2007

Perhimpunan Bertukar Ganas

Perhimpunan Hindu Rights Action Force (Hindraf) di ibu kota semalam bertukar menjadi ganas, tidak seperti yang dijanjikan oleh penganjurnya dengan penyokong pertubuhan itu bertindak agresif melontar batu dan besi ke arah polis.

Kumpulan itu yang berpecah di beberapa lokasi di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Jalan Yap Kwan Seng sejak pukul 6.30 pagi tidak mengendahkan nasihat polis untuk bersurai, turut mengeluarkan kata-kata kesat dan berbau perkauman.

Sebahagian daripada mereka membuka baju dan melakukan pelbagai provokasi kepada pihak polis yang mengawal persekitaran bangunan Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang, di sini, tempat Hindraf dijadual menyerahkan petisyen kepada kerajaan British.

Keganasan yang dicetuskan oleh para penyokong Hindraf itu telah menyebabkan empat anggota polis cedera, dua daripadanya parah akibat dibaling dengan batu dan besi.

Sebuah jentera bomba yang melalui Jalan Yap Kwan Seng dalam perjalanan pulang memadam kebakaran di Pasar Besar Datuk Keramat telah dibaling batu sehingga cermin depan dan sisi kenderaan itu pecah.

Pasukan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan bom air setelah peserta demonstrasi itu enggan mematuhi nasihat supaya bersurai.

Kehadiran beribu-ribu penyokong Hindraf itu jelas tidak menghiraukan perintah mahkamah yang melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan tersebut.

Perhimpunan itu turut menimbulkan rasa takut dan kegelisahan di kalangan warga kota, para peniaga dan pelancong.

Sejak seminggu ini, mereka terpaksa menghadapi kesesakan jalan raya berikutan langkah polis mengadakan sekatan jalan raya untuk menghindari anasir jahat memasuki ibu kota.

Hari ini, sebahagian besar premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Ampang Park ditutup kerana para peniaga takut dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Selain itu, orang ramai dan pelancong terkandas tidak dapat ke tempat kerja dan destinasi pelancongan di sekitar Jalan Ampang berikutan perkhidmatan awam dihentikan sementara waktu.

Jalan-jalan utama menuju ke Suruhanjaya Tinggi British turut ditutup sejak awal pagi. Dalam perhimpunan yang berakhir kira-kira pukul 2 petang itu, seramai 241 penyokong Hindraf ditahan dan 105 orang daripadanya dibebaskan setelah melalui proses dokumentasi.

Kumpulan itu akhirnya menghantar petisyen mereka kepada kerajaan British melalui faksimile ke Suruhanjaya Tinggi British pada pukul 1.30 tengah hari.