Apa itu CCRIS? CCRIS atau Central Credit Reference Information System iaitu Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat ialah satu sistem pangkalan data berkomputer untuk mengutip, memproses, menyimpan dan menghasilkan maklumat kredit seseorang. Ia dikawal selia oleh Biro Kredit di bawah naungan Bank Negara Malaysia. Apabila seseorang individu atau syarikat membuat pinjaman dari mana-mana bank, maklumat pinjaman tersebut akan dikutip oleh Biro Kredit dan dimasukkan ke dalam laporan CCRIS ini. Di dalam laporan CCRIS terdapat 3 bahagian utama iaitu Laporan Ringkas Kredit, Laporan Kredit Terperinci dan Laporan Kredit Tambahan.
Laporan Ringkas Kredit terdapat 3 pecahan iaitu yang pertama menyatakan permohonan kredit yang dipohon sama ada yang telah diluluskan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan yang masih dalam pertimbangan pihak bank. Pecahan kedua pula menyatakan liabiliti semasa yang ditanggung yang meliputi jumlah baki pinjaman dan jumlah had yang diberikan tidak kira sebagai peminjam dan penjamin. Pecahan terakhir pula menyatakan sekiranya ada tindakan undang-undang yang dikenakan. Jadi sekiranya anda disenarai hitam, dengan hanya melihat pada bahagian pertama laporan CCRIS sahaja pihak bank sudah boleh tahu status diri anda.
Laporan Ringkas Kredit terdapat 3 pecahan iaitu yang pertama menyatakan permohonan kredit yang dipohon sama ada yang telah diluluskan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan yang masih dalam pertimbangan pihak bank. Pecahan kedua pula menyatakan liabiliti semasa yang ditanggung yang meliputi jumlah baki pinjaman dan jumlah had yang diberikan tidak kira sebagai peminjam dan penjamin. Pecahan terakhir pula menyatakan sekiranya ada tindakan undang-undang yang dikenakan. Jadi sekiranya anda disenarai hitam, dengan hanya melihat pada bahagian pertama laporan CCRIS sahaja pihak bank sudah boleh tahu status diri anda.
Laporan Kredit Terperinci adalah bahagian yang terpenting yang memberi gambaran terperinci dan menyeluruh tentang setiap satu pinjaman yang yang diperolehi oleh pelanggan sama ada untuk dirinya sendiri, secara bersama bagi akaun bersama, sebagai pemilik bagi perniagaan tunggal dan sebagai rakan kongsi bagi perniagaan perkongsian atau badan profesional berserta corak pembayaran untuk satu-satu pinjaman tersebut selama 12 bulan sebelumnya. Ini bermaksud sekiranya anda mempunyai pinjaman kenderaan, di sini ditunjukkan pada bulan berapa bayaran kenderaan ada tertunggak dan berapa bulan tunggakan tersebut untuk tempoh 12 bulan yang lalu.
Bukan sahaja untuk pinjaman kenderaan sahaja, juga ditunjukkan di sini ialah pinjaman berjangka yang lain seperti rumah, kad kredit, overdraf, pinjaman peribadi, belian barang elektrik atau perabot secara ansuran, pemajakan, resit amanah, belian cek luar, pemfaktoran, belian bil-bil domestik dan lain-lain. Selain menunjukkan jenis pinjaman dan corak bayaran, butiran lain seperti tarikh pinjaman, status, kapasiti, jenis institusi yang memberi pinjaman, jumlah belum jelas, tarikh baki dikemaskini, tempoh pembayaran balik prinsipal, jenis cagaran, status undang-undang dan tarikh status dikemaskini turut dipaparkan di halaman ini. Apa maksudnya? Sekiranya 10 bulan lalu kereta anda tertunggak 3 bulan, walaupun sekarang ini anda telah ‘update’ dan tiada tunggakan, pihak bank tetap akan tahu perkara tersebut. Oleh itu tidak ada gunanya untuk berselindung.
Laporan Kredit Tambahan adalah merupakan bahagian terakhir dalam laporan CCRIS. Walaupun yang terakhir ia tidak kurang penting terutamanya kepada pihak pemberi pinjaman kerana di sinilah dinyatakan alamat-alamat yang pernah diduduki oleh pelanggan sama ada alamat rumah atau syarikat, nombor-nombor telefon tidak kira telefon rumah, pejabat ataupun telefon bimbit yang pernah atau masih digunakan oleh pelanggan dan juga maklumat pekerjaan pelanggan meliputi jawatan dan nama syarikat tempat pelanggan bekerja dulu dan kini. Jadi, jangan terkejut sekiranya pegawai bank boleh menyatakan dengan tepat sejarah tempat tinggal, nombor telefon dan perkerjaan anda ketika anda membuat pinjaman dengan pihak bank. Dan nasihat saya, jangan cuba memberi maklumat palsu kepada pihak bank dalam apa-apa permohonan pinjaman kerana maklumat diri anda di hujung jari mereka dengan adanya laporan CCRIS ini.
Ramai yang bertanyakan berkenaan CCRIS terutamanya yang menghadapi masalah laporan CCRIS yang tidak ‘cantik’. Apa yang boleh kami nyatakan di sini, laporan CCRIS hanya menunjukkan corak bayaran selama 12 bulan terdahulu. Sekiranya tunggakan bayaran berlaku lebih dari 12 bulan lalu, usah khuatir kerana ia tidak nampak di dalam laporan CCRIS ini selagi tiada tindakan undang-undang dikenakan. Selain itu, bagi pinjaman yang telah diselesaikan sepenuhnya baki pinjaman, laporan berkenaan pinjaman tersebut akan diluputkan sepenuhnya dari laporan CCRIS dalam masa paling lama pun sebulan sahaja. Jadi, walaupun pernah bayaran kurang memuaskan pada satu-satu masa lalu sebaik sahaja bayaran telah dijelaskan sepenuhnya maka sejarah tersebut tidak kelihatan lagi.