Earn $$ with WidgetBucks!

Thursday, November 22, 2007

2011: UPSR & PMR jadi PSR & PSMR

Bermula 2011, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), masing-masing akan ditukar nama kepada Pentaksiran Sekolah Rendah (PSR) dan Pentaksiran Sekolah Menengah Rendah (PSMR).

Bagaimanapun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal mengguna pakai nama yang sedia ada.

Ketua Penolong Pengarah Unit Psikometri Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr. Jamil Adimin berkata, perubahan itu dibuat atas kehendak awam dan sejajar dengan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Beliau berkata, berdasarkan SPPK, peperiksaan-peperiksaan utama itu tidak lagi menekankan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kecemerlangan sahsiah, kokurikulum, jasmani dan ujian psikometrik.

‘‘Melalui SPPK, lima pentaksiran akan dilalui oleh pihak sekolah iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti, jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pentaksiran sekolah akan dibuat oleh pihak sekolah terhadap pelajar bukan sahaja daripada segi akademik malah kokurikulum, kepimpinan, sahsiah dan kecenderungan untuk dinilai bersama-sama peperiksaan utama.

Pentaksiran pusat akan dibuat oleh LPM melibatkan standard, garis panduan pelaksanaan, kriteria pemarkahan, jenis tugasan kepada pelajar contohnya kerja kursus, projek dan ujian lisan sementara pelaksanaannya akan dikendalikan oleh pihak sekolah.

"Melalui pentaksiran pusat, LPM akan menilai semula atau memoderasikan markah yang diberi oleh pihak sekolah terhadap pelajar dan sekolah masing-masing untuk disesuaikan dengan pencapaian peperiksaan pusat," tegasnya.

Menurut beliau, sistem berkenaan telah diguna pakai di semua negara maju, justeru sistem penilaian semula oleh LPM itu tidak boleh dipertikaikan oleh pihak sekolah.

"Kita mempunyai instrumen sendiri untuk menilai markah yang diberi oleh pihak sekolah, oleh itu jika ada pemarkahan ‘luar biasa’ diberi oleh pihak sekolah kepada pelajar atau sekolah masing-masing, kita akan dapat kesan dengan mudah," katanya.

Pentaksiran lain yang akan dilaksanakan ialah pentaksiran aktiviti, jasmani, kokurikulum dan ujian psikometrik iaitu kecenderungan pelajar.

Sejajar dengan perubahan itu, difahamkan nama LPM (Malaysian Examination Syndicate-MES) juga akan ditukar dan dikenali sebagai Lembaga Pentaksiran Negara (National Assessment Authority-NAA).

Perubahan nama itu juga memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada LPM untuk memastikan SPPK berjaya selain segala keputusan akan menjadi lebih telus dan mesra masyarakat.