Earn $$ with WidgetBucks!

Monday, February 11, 2008

Pimpinan PAS Pusat bertanding di kawasan berpotensi menang

KUALA LUMPUR, 10 Feb - PAS akan meletakkan calon di kalangan pimpinan PAS Pusat di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan yang kuat atau berpotensi untuk menang, kata Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media di Pejabat Agung PAS dekat sini, tengah hari tadi, selepas mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat yang membincangkan soal calon-calon di seluruh negara di peringkat akhir.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob; Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar dan AJK PAS Pusat yang juga AJK Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Menurut Presiden PAS, antara pimpinan yang dimaksudkan itu, antaranya adalah Ketua Pemuda Pusat, Ketua Muslimat Pusat, Bendahari, Pengerusi Lajnah Guaman, dan beberapa AJK Pusat yang dikenali, yang akan bertanding di kawasan Parlimen dan Dun yang mempunyai potensi cerah untuk menang.

Ujar Tuan Guru Abdul Hadi, PAS juga meletakkan ramai calon di kalangan muka-muka baru bertanding di Dun dan Parlimen. Terdapat juga yang berpindah kawasan, misalnya dari Parlimen ke peringkat Dun, dan antara yang disebut ialah, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang dahulunya bertanding di Parlimen Kuala Terengganu kini bertanding di salah satu Dun Terengganu.

Sementara Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu pula akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu selain beberapa muka baru yang berpotensi akan bertanding di Terengganu dan Kelantan.

Beliau memaklumkan, ada juga pimpinan yang akan bertanding di negeri-negeri Pantai Barat yang dikenal pasti sebagai kawasan yang ada potensi.

Mereka ini diletak bagi memainkan peranan di peringkat Parlimen dan Dun dalam agenda PAS mewakili hasrat rakyat, dan menyampaikan mesej parti sendiri, katanya.

"Alhamdulillah kita dah letak calon-calon yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama, dengan kriteria akhlak yang baik, ilmu, bersih dan pengaruh mereka di seluruh negeri," katanya.

PAS meletakkan calon yang boleh menang dalam pilihan raya kali ini supaya dapat mewakili hasrat rakyat, katanya.

Ustaz Abdul Hadi berkata, secara umumnya PAS mempunyai misi mengekalkan pemerintahan di Kelantan, merampas kembali Terengganu, menawan Kedah dan menempatkan wakil-wakil rakyat di setiap negeri termasuk negeri-negeri di Pantai Barat.

Bagi Terengganu, Ustaz Abdul HAdi menegaskan, PAS yakin dapat merampas kembali negeri tersebut dari Umno, tetapi tidak menafikan bahawa usaha itu tidak mudah.

Ini kerana katanya, BN menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rasuah dan jentera kerajaan yang lain untuk memastikan mereka menang di sana.

Mengulas mengenai peningkatan calon di kalangan muslimat, beliau menyatakan pada pilihan raya umum kali ini jumlah calon wanita lebih banyak berbanding pilihan raya terdahulu.

PAS akan meletakkan calon di kalangan profesional dan ulama selain 50 peratus muka-muka baru yang akan memberi saingan sengit kepada BN, katanya.

Terdahulu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali sewaktu ditemui sebelum sidang media ada menyatakan bahawa PAS Terengganu mensasarkan antara 17 hingga 21 kerusi Dun yang boleh dimenangi sekaligus untuk memerintah.

Beliau juga menyebut bahawa PAS Terengganu akan meletakkan calon yang wibawa dan ramai di kalangan muka-muka baru bertanding pada pilihan raya kali ini.