Earn $$ with WidgetBucks!

Tuesday, February 05, 2008

Pak Lah dapat ilham untuk tentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-12

KOTA BHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau sudah mendapat ilham bagi mengadakan pilihan raya umum walaupun tarikhnya belum ditentukan lagi.

"Ilham sudah ada, tapi saya akan tentukan bila," kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) Kelantan di sini, semalam.

Sambil menjelaskan senarai calon untuk Kelantan sudah diberi kepadanya semalam, Abdullah menasihatkan kepada ahli parti supaya tidak melobi untuk menjadi calon BN.

Beliau juga berkata, BN Kelantan boleh mengemukakan manifestonya sendiri, selain mengguna pakai manifesto yang disediakan BN pusat pada pilihan raya umum kali ini.

Mengenai manifesto Pas yang mahu menjadikan Malaysia negara kebajikan, Abdullah berkata: "Apa yang dia nak janji, janjilah... yang kita (BN) bawa pembangunan kepada rakyat inilah dikatakan kebajikan kepada rakyat dan masyarakat."

Perdana Menteri berkata, Malaysia menjadi negara yang membela kebajikan rakyatnya dalam pelbagai aspek kehidupan sejak merdeka dan usaha itu dibuat secara berterusan sehingga hari ini.

"Apa yang dilakukan BN selama ini adalah untuk kebajikan rakyat termasuk pembangunan dalam pelbagai bidang dan modal insan. Kalau dilihat terhadap apa yang dilakukan BN selama ini menerusi pelbagai bantuan yang kita berikan kepada rakyat, ia adalah suatu kebajikan.

"Pembangunan yang kita usahakan dan nak bawa kepada rakyat sebenarnya adalah untuk menjaga kebajikan masyarakat," katanya.

Abdullah berkata, ketika memerintah Terengganu, Pas nyata tidak membawa pembangunan dan faedah kepada rakyat, berbanding pelbagai usaha yang dilakukan BN apabila kembali memerintah negeri itu.

"Pas sewaktu memerintah Terengganu dulu, tidak melaksanakan apa-apa tapi sekarang tengok saja apa yang dilaksanakan kerajaan Terengganu kini.

"Kita sudah buktikan di Terengganu, BN membuat banyak perubahan di bawah barisan kepemimpinan yang berupaya membawa kejayaan, maka rakyat Terengganu dengan senang hati menyokong BN," katanya.

Beliau berkata, jentera BN di Kelantan kini bekerja lebih kuat dan memberi keyakinan kepada rakyat negeri ini untuk kembali memerintah Kelantan.

"Satu perubahan yang saya lihat ialah kesedaran bahawa sekiranya BN ingin memerintah Kelantan, ia perlu membuat pelbagai perubahan untuk menuju ke arah usaha meraih sokongan lebih besar.

"Rakyat ingin BN memerintah tetapi mahu melihat BN menunjukkan keyakinan serta kemampuan membawa perubahan sebelum memberi undi mereka," katanya.